fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Bursa Malaysia terus mencatatkan prestasi positif dari Jumaat lepas, dibuka tinggi pada Isnin walaupun Wall Street mendatar minggu lepas.

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup hampir tidak berubah berikutan pendapatan bank yang bercampur-campur mengimbangi inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan dan mendorong harapan kepada penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, kata seorang peniaga.

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.17 mata kepada 1,492.51 daripada 1,487.34 pada Jumaat lepas.

FBM KLCI dibuka tinggi 0.94 mata kepada 1,488.28.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 251 berbanding 159 manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,525 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 387.94 juta unit bernilai RM152.36 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada Jumaat lepas berikutan pendapatan bank yang lebih rendah daripada jangkaan dengan bacaan inflasi yang rendah.

Walaupun Indeks Harga Pengeluar AS merosot pada Disember, pendapatan daripada beberapa bank terkemuka tidak memenuhi jangkaan, justeru penurunan 118 mata untuk Dow Jones Industrial Average, manakala jangkaan penurunan kadar yang lebih tinggi menyaksikan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS susut kepada 3.94 peratus.

Dalam negara, FBM KLCI ditutup tinggi pada Jumaat berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah.

“Kami menjangka belian saham akan berterusan selepas pembetulan pada beberapa hari lepas dan menyaksikan indeks berada dalam julat 1,485-1,495, dengan 1,500 menjadi paras halangan psikologi,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.33, CIMB meningkat empat sen kepada RM5.96, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM10.30 dan Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.93 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM9.04.

Daripada saham aktif, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada dua sen dan Ekovest menambah dua sen kepada 61 sen manakala SC Estates, Minetech dan Fast Energy, masing-masing merosot setengah sen kepada 2.5 sen, 19 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 33.72 mata kepada 11,150.57, Indeks FBM 70 meningkat 39.23 mata kepada 15,203.04, Indeks FBMT 100 menambah 34.93 mata kepada 10,796.81, Indeks FBM Emas Shariah naik 24.8 mata kepada 11,273.78 dan Indeks FBM ACE menambah 8.63 mata kepada 5,390.06.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.56 mata kepada 176.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.42 mata kepada 16,591.46, Indeks Tenaga menambah 0.46 mata kepada 866.17, Indeks Perladangan menokok 10.49 mata kepada 7,112.42 dan Indeks Hartanah menambah 4.69 mata kepada 897.48.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN