fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah seiring penurunan Wall Street

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 3 April- Bursa Malaysia susut pada awal dagangan Rabu, menjejaki prestasi semalaman Wall Street.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.11 mata kepada 1,545.88 daripada 1,547.99 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam. 

Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.70 mata kepada 1,547.29.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 193 berbanding 132 dengan 315 kaunter tidak berubah; 1,654 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 161.31 juta unit bernilai RM58.98 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd (MSSB) berkata Wall Street ditutup dalam wilayah negatif selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan ketika peniaga terus menjangkakan penangguhan pengurangan kadar faedah utama negara itu.

Firma pembrokeran itu berkata walaupun pasaran saham AS berakhir rendah, sentimen di peringkat tempatan sebaliknya berkemungkinan kekal positif susulan pemulihan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China yang mencecah 50.8 berbanding unjuran 50.1.

Malah, bagi sesi dagangan hari ini, MSSB menjangkakan pasaran secara meluasnya kekal positif.

Menurutnya, kalangan peniaga berkemungkinan memberi tumpuan terhadap saham-saham berkaitan komoditi dalam sektor minyak dan gas, perladangan dan emas berikutan sentimen lebih kukuh dalam harga komoditi terbabit.

“Kami lebih memilih saham teknologi kerana optimis dengan pemulihannya dalam masa terdekat ini.

“Selain itu, pemangkin dalam pusat data misalnya akan memberi sokongan lebih baik bagi segmen bekalan tenaga, kabel serta rangkaian,” katanya.

Dari segi teknikal pula, MSSB berkata paras rintangan dijangka sekitar 1,560-1,565 manakala sokongan pada 1,525-1,530.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga susut 2.0 sen kepada RM9.71 dan RM11.42; Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.23, RM6.74 dan RM6.08 manakala CIMB susut 1.0 sen kepada RM6.65. 

Bagi saham aktif, Tech naik 1.0 sen kepada 2.5 sen; NCT meningkat 2.5 sen kepada 53.5 sen; Appasia menokok setengah sen kepada 11 sen, Vsolar turun 1.0 sen kepada 11 sen dan AWC meningkat 12.5 sen kepada 79 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas 8.76 turun 8.76 mata pada 11,631.70; Indeks FBMT 100 susut 9.06 mata kepada 11,271.87 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 5.71 mata kepada 11,728.24.

Indeks FBM 70 meningkat 13.01 mata kepada 16,241.65 dan Indeks FBM ACE naik  9.71 mata kepada 4,957.51.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.95 mata kepada 17,341.48; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.01 mata kepada 179.83 namun Indeks Tenaga naik 1.89 mata kepada 958.81 dan Indeks Perladangan menambah 3.93 mata kepada 7,314.58.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM