fb fb fb fb fb

Bursa malaysia dibuka rendah menjelang pengumuman KDNK suku ketiga

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 November- Bursa Malaysia meneruskan penyusutan pada Jumaat menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 seiring dengan petunjuk pasaran yang lemah daripada Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 4.33 mata kepada 1,460.35 daripada 1,464.68 pada Khamis.

Indeks itu dibuka rendah 3.09 mata kepada 1,461.59.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 170 berbanding 107 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,876 tidak diniagakan selain 24 kaunter yang digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 331.67 juta unit bernilai RM65.39 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman ditutup bercampur-campur berikutan kenaikan baru-baru ini apabila pelabur menilai semula data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak begitu memberangsangkan antaranya peningkatan tuntutan pengangguran dan output perindustrian yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Peniaga bimbang sekiranya harga saham mungkin mengatasi yang utama. Oleh itu, ketika Purata Indeks Dow Jones menguncup 46 mata, Nasdaq ditutup meningkat hampir 10 mata memandangkan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut sehingga kepada 4.441 peratus.

“Selain itu, Indeks Hang Seng merosot hampir 250 mata berikutan peniaga tidak terdorong dengan pertemuan Presiden AS Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping,” katanya.

Di dalam negara, Thong berpendapat bahawa bursa tempatan akan diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat, sekali gus mengunjurkan indeks itu dalam jajaran 1,460-1,470.

Seorang lagi penganalisis berkata pelabur turut memantau pengumuman KDNK Malaysia hari ini, dengan pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan 3.2 - 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank dan Axiata masing-masing turun dua sen kepada RM4.22 dan RM2.43.

IOI dan Tenaga Nasional masing-masing menguncup lima sen kepada RM3.97dan RM9.94, manakala Maybank meraih satu sen kepada RM9.15.

Dalam kalangan saham aktif, Hong Seng susut setengah sen kepada 3.5 sen, Mercury Securities meningkat setengah sen kepada 34.5 sen dan Unique Fire naik 2.5 sen kepada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 25.87 mata kepada 10,802.43, Indeks FBMT 100 turun 26.07 mata kepada 10,464.88 dan Indeks FBM Emas susut 28.51 mata kepada 11,004.89.

Indeks FBM ACE menguncup 4.12 mata kepada 5,114.69 dan Indeks FBM 70 berkurangan 13.99 mata kepada 14,325.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 23.41 mata kepada 16,410.03, Indeks Tenaga turun 3.30 mata kepada 858.64, Indeks Perladangan rendah 5.75 mata kepada 7,001.16 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.02 mata kepada 174.42.- BERNAMA

TAG: FBM KLCI, buka, Wall Street, tuntutan pengangguran

ROSLINA BINTI DIN