fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia akhiri penurunan lima hari berturut-turut

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Bursa Malaysia meningkat semula pada Rabu, mengakhiri penurunan selama lima hari berturut-turut, berikutan wujud aktiviti belian saham pada harga rendah susulan jualan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5.00 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.10 mata atau 0.72% kepada 1,403.93 daripada 1,393.83 pada Selasa.

Indeks utama dibuka tinggi 6.27 mata kepada 1,400.10 dan bergerak antara 1,399.80 dan 1,406.57 sepanjang hari.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 604 berbanding 289 manakala 383 kaunter tidak berubah, 972 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.13 bilion unit bernilai RM2.34 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup tinggi berikutan petunjuk positif daripada pasaran global semalaman.

Beliau berkata pelabur membuat spekulasi bahawa impak global yang terburuk daripada krisis perbankan Amerika Syarikat telah berlalu apabila Presiden Joe Biden memberi jaminan insurans deposit penuh sebagai tindak balas selepas Silicon Valley Bank muflis.

“Dalam negara, kami terus berhati-hati walaupun peningkatan semula dicatatkan dalam pasaran tempatan dan global berikutan turun naik yang meningkat.

“Sebaliknya, kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan berterusan berikutan pasaran tempatan kekal pada kedudukan lebihan jualan,” katanya kepada Bernama.

Thong menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,400 hingga 1,420 untuk baki minggu ini.

(Bursa Malaysia akhiri penurunan lima hari berturut-turut)

Sementara itu, Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong menjangka konsolidasi akan ditetapkan dengan pelabur memantau keputusan mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada bulan ini.

“Dari segi teknikal, jika paras 1,400 dikekalkan, aktiviti belian saham pada harga rendah yang berterusan dijangka menaikkan indeks utama kepada paras halangan yang akan datang pada 1,435. Paras sokongan dikesan pada 1,375,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi Maybank menambah satu sen kepada RM8.35, Public Bank naik tujuh sen kepada RM3.95, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM7, CIMB menambah enam sen kepada RM5.23 dan TNB naik 15 sen kepada RM9.42.

Dalam kalangan saham aktif, Oppstar yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat RM1.80 kepada RM2.43, Hong Seng Consolidated dan Jade Marvel, masing-masing naik setengah sen kepada 15 sen dan 30 sen, SMRT Holdings menambah lima sen kepada 51.5 sen dan BSL Corp jatuh satu sen kepada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 79.46 mata kepada 10,261.37, Indeks FBM 70 naik 101.43 mata kepada 13,169.04, Indeks FBMT 100 meningkat 72.79 mata kepada 9,951.56, Indeks FBM Emas Shariah menambah 77.21 mata kepada 10,559.36 dan Indeks FBM ACE naik 99.47 mata kepada 5,276.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 103.22 mata kepada 15,482.45, Indeks Tenaga naik 13.72 mata kepada 838.00, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.03 mata kepada 169.56 dan Indeks Perladangan menambah 55.01 mata kepada 6,722.31.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.04 bilion saham bernilai RM1.63 bilion daripada 2.15 bilion saham bernilai RM2.15 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 373.03 juta unit bernilai RM59.59 juta daripada 480.60 juta unit bernilai RM74.85 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 718.55 juta saham bernilai RM646.99 juta daripada 743.69 juta saham bernilai RM274.16 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 240.28 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (677.67 juta); pembinaan (43.08 juta); teknologi (555.31 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (100.21 juta); hartanah (84.77 juta); perladangan (26.64 juta); REIT (6.14 juta), dana tertutup (300); tenaga (115.76 juta); penjagaan kesihatan (85.52 juta); telekomunikasi dan media (37.84 juta); pengangkutan dan logistik (33.94 juta) dan utiliti (33.65 juta). -BERNAMA

Media Baharu