fb fb fb fb fb

Botswana sedia insentif menarik sebagai pintu masuk Pasaran SADC

Botswana tawar insentif cukai, kemudahan pendaftaran perniagaan/Foto FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 23 November - Botswana menawarkan potensi pelaburan kepada syarikat Malaysia dan berupaya menjadi pintu masuk ke pasaran Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dengan lebih 300 juta pengguna.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antara sektor-sektor utama yang telah kenal pasti termasuk Tenaga Boleh Baharu terutamanya Fotovolta Suria (Solar PV), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan pembuatan bernilai tinggi.

Menerusi hantaran di laman media sosial, beliau memaklumkan kerajaan Botswana turut menawarkan insentif cukai yang menarik dan kemudahan pendaftaran perniagaan.

''Ini adalah tempoh yang tepat untuk syarikat Malaysia mengambil peluang dalam agenda diversifikasi ekonomi Botswana,''katanya.

Jelasnya, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, membuka peluang memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dan Botswana.

Pertemuan tersebut merupakan sebahagian agenda lawatan rasmi Datuk Seri Anwar ke Afrika Selatan, negara kedua dalam dalam siri lawatannya bersama delegasi ke benua Afrika.

SADC merupakan pakatan kerjasama ekonomi terdiri 16 negara anggota, masing-masing Angola, Botswana, Comoros, Republik Demokratik Congo, Eswatini, Lesotho, Madagascar, Malawi, Mauritius, Mozambique, Namibia, Seychelles, Afrika Selatan, Tanzania, Zambia dan Zimbabwe.

FAUZIAH ABD RAHMAN