KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Belanjawan 2026 dijangka digerakkan dengan pendekatan yang lebih bersasar mengikut keperluan setiap wilayah dan negeri, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan pembangunan diagih secara lebih seimbang di seluruh negara.
Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, pendekatan itu bertujuan memacu pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat dapat dirasai secara menyeluruh.
"Pembangunan seimbang ini bertujuan memastikan setiap negeri dan rakyat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi secara adil, tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
"Usaha ini dilaksanakan melalui peningkatan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta rangsangan aktiviti ekonomi di peringkat tempatan agar pertumbuhannya lebih meluas." katanya.
Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi menjelaskan, pembangunan seimbang yang dimaksudkan bukan hanya dari sudut angka pertumbuhan negeri, tetapi memastikan setiap lapisan rakyat menerima manfaat ekonomi secara adil tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
"Justeru, penekanan turut diberikan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan yang mampu mewujudkan pekerjaan secara lebih seimbang di setiap wilayah.
"Pendekatan ini akan membolehkan setiap wilayah berkembang mengikut potensinya sendiri, sekali gus memperkukuh asas ekonomi negara secara keseluruhan," ujarnya.
Pendekatan yang digariskan itu juga seiring dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Belanjawan 2026 akan disesuaikan mengikut keutamaan ekonomi setiap negeri, bagi memastikan pembangunan dilakukan mengikut keperluan rakyat.