KUALA LUMPUR, 28 September - Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan pada 13 Oktober ini.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpandangan cabaran global meliputi perang dagang Amerika Syarikat dan China serta negara-negara maju yang mengalami inflasi akan memberi impak kepada ekonomi negara.
Justeru, beliau berharap Belanjawan 2024 akan bercirikan pengembangan yang akan membantu mengatasi situasi ekonomi semasa dan mencapai matlamat Ekonomi Madani.
"Satu Belanjawan yang menekankan perubahan besar ataupun penstrukturan semula ekonomi. Belanjawan tahun ini kita melihat bagaimana kerajaan mencadangkan penstrukturan semula ekonomi khususnya berkait dengan peningkatan dan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.
Tambah Dr. Barjoyai, industri keselamatan makanan juga akan menjadi antara fokus utama kerajaan dalam pengeluaran hasil makanan kepada rakyat tanpa bergantung kepada produk import.