fb fb fb fb fb

Purata gaji dan upah meningkat 5.8 peratus - DOSM

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 28 September - Gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia secara puratanya telah meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata langkah kerajaan menaikkan paras gaji minimum kepada RM1,500 telah meningkatkan paras gaji dan upah secara keseluruhannya.

(Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin / FOTO FAIL)

"Penengah gaji dan upah bulanan juga menyaksikan peningkatan iaitu sebanyak 7.7 peratus kepada RM2,424 berbanding RM2,250 pada 2021.

"Keadaan ini juga menunjukkan separuh atau 50 peratus daripada pekerja warganegara sepenuh masa di negara ini menerima gaji dan upah di bawah RM2,424," katanya dalam satu kenyataan Statistik Gaji & Upah, Malaysia, 2022 yang diterbitkan DOSM, pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai situasi gaji dan upah mengikut strata, Mohd Uzir berkata purata bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar merekodkan peningkatan kepada RM3,351 bagi kawasan bandar dan RM2,393 bagi kawasan luar bandar berbanding tahun 2021.

Sementara itu, Putrajaya merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi iaitu pada RM4,666.

"Selain itu, empat negeri lain juga melebihi paras purata nasional pada RM3,212, iaitu Kuala Lumpur (RM4,207), Selangor (RM3,737), Labuan (RM3,418) dan Pulau Pinang (RM3,313)," katanya.

Media Baharu