fb fb fb fb fb

Bantuan SARA dorong pertumbuhan ekonomi negara - Penganalisis

Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diunjurkan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diunjurkan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan memberikan kelegaan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembayaran secara berkala itu dapat membantu penerima dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, dan bil utiliti.

“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, terutamanya golongan yang layak menerima sokongan ini. Ia dapat meringankan beban kewangan dan meningkatkan kualiti hidup penerima,” katanya kepada RTM.

Dr. Mohd Afzanizam turut menjelaskan, bantuan itu dijangka mendorong peningkatan perbelanjaan domestik, yang merupakan komponen penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dengan peningkatan perbelanjaan itu, sektor ekonomi berkaitan akan mendapat manfaat, mewujudkan kitaran ekonomi yang lebih aktif dan memperkukuh aliran ekonomi negara.

Penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula hari ini melibatkan peruntukan tertinggi sebanyak RM13 bilion, meningkat daripada RM10 bilion tahun lalu.

Ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan bantuan bersasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN