Kuala Lumpur, 2 Mei- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) umum pengambilalihan saham Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Urus niaga itu dimuktamadkan berdasarkan nilai aset ketara bersih (NTA) EXIM Bank dan SME Bank setakat 31 Disember 2023.
Kumpulan BPMB, kini dengan EXIM Bank dan SME Bank sebagai anak syarikatnya, membentuk sebuah entiti yang lebih mantap untuk menyalurkan modal impak secara lebih menyeluruh menerusi ekosistem pembiayaan pembangunan, selari dengan dasar-dasar utama negara seperti Kerangka Ekonomi MADANI Malaysia, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12, serta inisiatif PuTERA35.
Menurut BPMB dalam kenyataan semalam , dengan gabungan tenaga kerja sedia ada seramai lebih 2,000 orang, Kumpulan BPMB mampu meningkatkan kapasitinya untuk memberikan impak yang lebih hebat pada skala yang lebih besar.
BPMB berkata kumpulan komited untuk mengekalkan tenaga kerja sepenuhnya dengan peranan kerja yang bermakna, sekali gus mengiktiraf modal insan sebagai teras kepada usaha pembangunan negara.
" Dengan pengambilalihan ini, ketiga-tiga institusi mempunyai kebolehan yang lebih kukuh untuk memperluas dan memperkasa mandat sedia ada dalam merapatkan jurang pembiayaan pembangunan negara."
Antara fokus utama termasuklah sokongan kepada usahawan Bumiputera, pembiayaan untuk perusahaan kecil sederhana (PKS), menggalakkan transaksi perdagangan masuk dan keluar, serta menyokong pertumbuhan mampan.
Menurut kenyataan itu lagi, secara kolektif, bagi tahun 2025, Kumpulan BPMB telah memperuntukkan RM8.3 bilion untuk pembangunan negara menerusi program-program strategik bersama.
“Pengambilalihan ini dijangka membawa sinergi daripada segi hasil dan kecekapan kos dalam jangka masa panjang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pelbagai skala di Malaysia.
Kumpulan BPMB akan melaksanakan pelan integrasi secara menyeluruh yang akan memanfaatkan kekuatan dan sumber setiap entiti bagi menyokong keperluan tiga segmen pasaran yang berbeza secara lebih efektif.