KUALA LUMPUR, 18 Januari – Bank Islam Malaysia Bhd menyasarkan sebanyak 800 langganan bagi produk baharu, Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard World Premier Wealth, menjelang akhir 2025.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Muttalib berkata kad eksklusif itu direka khas untuk memenuhi keperluan pelanggan mewah dengan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai RM250,000 dan ke atas.
“Premier Wealth adalah platform untuk pelanggan individu bernilai tinggi kami. Ia direka untuk menyediakan pelbagai kelebihan eksklusif dan keselesaan kepada pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran kad tersebut.
Sebagai promosi istimewa, 200 pelanggan pertama yang memohon dan berbelanja sekurang-kurangnya RM500 sebelum 31 Mac 2025 akan menerima ganjaran 5,000 mata Enrich.
Pemegang kad akan menikmati pelbagai manfaat, termasuk lima kali akses tahunan ke lebih 200 ruang istirahat Plaza Premium di 37 negara, ganjaran TruPoints, termasuk tiga kali TruPoints untuk transaksi tanpa sentuh dan petrol, serta dua kali TruPoints untuk perbelanjaan di kedai fizikal luar negara.
Selain itu, perlindungan kemalangan perjalanan sehingga RM2 juta dan perlindungan Takaful Keluarga bernilai RM100,000 dan juga kemudahan tanpa caj kompaun kewangan.
Menurut Zaharah, program itu menjadikan Bank Islam satu-satunya institusi kewangan di Malaysia yang menawarkan program kesetiaan seperti TruPoints, yang boleh digunakan di lebih 100 juta peniaga Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia.
Selain itu, pemegang kad boleh menggunakan aplikasi Pay with Rewards™ untuk menjejaki ganjaran, menebus TruPoints, dan menguruskan pilihan dengan mudah.
“Kad ini adalah langkah kami untuk memenuhi keperluan segmen pelanggan mewah sambil memberikan pengalaman premium dan ganjaran eksklusif,” tambah Zaharah.