fb fb fb fb fb

BANJIR: UAE sumbang 250 tan bantuan kemanusiaan kepada Malaysia

ABU DHABI, 11 Januari - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 250 tan bantuan kemanusiaan berupa pelbagai barangan keperluan kepada penduduk terjejas banjir di Malaysia pada minggu pertama 2022.

Ia merupakan sebahagian daripada fasa pertama bantuan kemanusiaan UAE yang memberi tumpuan kepada keperluan tempat tinggal, makanan dan kesihatan, lapor portal berita tempatan UAE Al-Ain.

Selangor negeri penerima pertama sumbangan berupa 9,600 barangan keperluan yang disampaikan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (ERC) UAE.

Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda menerima bantuan berkenaan bagi pihak penduduk terjejas dalam satu majlis yang diadakan pada 3 Jan.

Di Pahang, sebanyak 10,000 keluarga terjejas juga mendapat manfaat daripada sumbangan itu.

Majlis agihan bantuan pada 6 Januari dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Al-Ghaith.

UAE antara negara pertama mengumumkan solidaritinya dengan Malaysia dalam menghadapi musibah ini, serta sentiasa proaktif dalam memberi sokongan dan memanfaatkan keupayaannya untuk menyumbang kepada usaha kemanusiaan.

Pada akhir Disember lepas, kerajaan UAE mengumumkan akan menyumbang pelbagai barangan keperluan khusus kepada 775 keluarga membabitkan lebih 3,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga awam Kementerian Pertahanan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir.

Inisiatif Bantuan Kemanusiaan UAE itu disediakan oleh pihak berkuasa UAE bawah arahan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed al Nahyan.

Hujan lebat di Malaysia pada penghujung 2021 mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini.

Angka kematian itu adalah yang tertinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia- BERNAMA


Media Baharu