fb fb fb fb fb

Asia kekal terajui pembuatan cip global hingga 2030

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 2 Septembber – Asia dijangka terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju utama dalam pembuatan cip global bagi tempoh lima tahun akan datang, disokong oleh kelebihan kos, ekosistem kukuh serta kepakaran teknikal.

Agensi penarafan Moody’s Ratings dalam satu nota berkata, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian ekonomi mendorong syarikat semikonduktor di rantau ini untuk mempelbagaikan operasi mereka secara geografi.

Ketika ini, Asia menguasai lebih 75 peratus kapasiti pembuatan cip dunia, meliputi fabrikasi wafer bagi cip logik, memori serta cip diskret, analog dan optoelektronik (DAO), termasuk bekalan bahan utama.

“Ekonomi Asia Selatan dan Asia Tenggara sedang muncul sebagai hab peringkat belakang (back-end), namun jurang teknikal mengehadkan potensi rantau ini untuk memperoleh nilai ekonomi lebih besar. Kemajuan bergantung kepada sokongan kerajaan, inovasi dan kerjasama global.

“Pada masa ini, Malaysia mendahului dalam bidang pemasangan, ujian dan pembungkusan, manakala India sedang mengembangkan keupayaan fabrikasi dan reka bentuk,” menurut laporan itu.

Moody’s menjangkakan Taiwan, Korea Selatan dan Jepun akan terus mendominasi pembuatan cip berteknologi tinggi, meskipun berlaku peningkatan pelaburan luar negara serta pertumbuhan pesat China.

“Walaupun China beralih kepada pembekal domestik yang memberi kesan kepada sebahagian permintaan, kepelbagaian eksport serta pelaburan ke dalam ekonomi Asia yang sedang berkembang berpotensi mengimbangi impak tersebut,” jelas firma itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE