fb fb fb fb fb

Permintaan sarung tangan getah kekal meningkat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 September - Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) menjangkakan penggunaan sarung tangan getah global kekal pada paras fasa pandemik, sekali gus mencerminkan peningkatan permintaan pasaran untuk tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata permintaan global sarung tangan terus berkembang dengan unjuran mencecah 370 bilion keping, hampir menyamai paras permintaan semasa pandemik iaitu 380 bilion keping.

Bagaimanapun, pasaran global kekal berdepan cabaran termasuk lebihan bekalan yang diramal berterusan untuk tempoh dua tahun akan datang.

"Lebihan bekalan tersebut didorong oleh pembinaan kapasiti berlebihan ketika era pandemik selain ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat terhadap produk dari China.

“Bagi Hartalega, kami berdepan cabaran ini dengan melabur semula dalam teknologi pengeluaran, meningkatkan automasi, serta mempergiat usaha pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi di kilang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini.

Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (TK2026), Hartalega peneraju global dalam pengeluaran sarung tangan nitril merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM12 juta, dengan hasil pendapatan berjumlah RM553 juta.

Prestasi itu dipengaruhi oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah dan pengurangan volum, susulan langkah pelanggan di Amerika Syarikat membuat pembelian awal untuk menghadapi ketidakpastian tarif serta penangguhan daripada sebahagian pasaran.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (TK2025), Hartalega mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM74 juta, berbanding RM20 juta pada tahun sebelumnya.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN