VIENTIANE, 8 Oktober- ASEAN perlu kekal sebagai blok berkecuali bagi menghadapi impak ketegangan geopolitik global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, gabungan itu juga harus memastikan aspek keterangkuman dan keterbukaan jadi faktor penarik bagi meningkatkan pelaburan.
"Kita berdagang dan berkawan dengan semua negara Eropah, negara barat dan juga negara BRICS seperti China, Rusia dan sebagainya.
"Pada masa sama isu ekonomi dunia kalau lihat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang nampaknya lebih perlahan daripada dijangkakan.
"Oleh itu kita kena pastikan isu keterangkuman, titik jualan kami mengenai kelestarian adalah lebih jelas," katanya.
Sementara itu, Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang sedang dirangka, dijangka dibentangkan pada Mei 2025, seiring kepengerusian Malaysia.
Pelan itu penting bagi memastikan ekonomi ASEAN terus berkembang dalam julat 4 hingga 5 peratus pada 2030 dan muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.
Terdahulu, beliau menyertai Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24.
Tengku Datuk Seri Zafrul bersama delegasi kementeriannya, berada di Laos bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini.