fb fb fb fb fb

Aktiviti domestik enjin pertumbuhan ekonomi negara

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 11 November- Aktiviti ekonomi domestik diunjur terus kekal sebagai enjin pertumbuhan utama bagi suku ketiga 2023.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Dr Aimi Zulhaimi Abdul Rashid, perkembangan ekonomi bagi tempoh tersebut akan dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan.

"Tetapi daripada segi domestiknya kita dapat melihat banyak segmen perkhidmatan yang disumbangkan oleh pelancongan. Ini yang dikatakan sebagai pelancongan domestik.  Ramai pelancong luar negara datang ke Malaysia untuk melawat negara kita," katanya kepada pemberita di sini.

Selain itu, pertumbuhan akan turut disokong normalisasi perbelanjaan pengguna selain peningkatan harga minyak yang akan memberi kelebihan kepada eksport produk berkaitan minyak dan gas.

Bagaimanapun, perkembangan ekonomi China dan aktiviti perdagangan global yang perlahan akan mempengaruhi prestasi eksport terutamanya sektor pembuatan.

Berdasarkan indikator sedia ada, beliau berpendapat anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awalan suku tahunan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak 3.3 peratus bagi suku ketiga 2023 adalah wajar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM