fb fb fb fb fb

Industri perbankan perkukuh sokongan untuk individu, perniagaan terjejas banjir

Keadaan banjir di Manjung, Perak/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November - Industri perbankan kekal komited untuk meringankan beban kewangan pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir selain memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan perbankan penting.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, bank-bank tempatan menawarkan pelbagai bentuk bantuan banjir termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan.

"Tawaran itu disediakan sebagai bantuan kewangan sementara dan kemudahan pembiayaan khas bagi membantu pelanggan membaiki dan membaik pulih rumah serta perniagaan mereka.

''Bank-bank turut mengetepikan bayaran untuk penggantian dokumen dan kad yang rosak, menyediakan kemudahan bantuan dan penyesuaian untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menawarkan pertukaran wang kertas yang rosak.

“Pelanggan digalakkan menghubungi bank masing-masing melalui saluran rasmi iaitu cawangan bank, laman web, platform perbankan dalam talian dan akaun media sosial untuk mendapatkan maklumat yang dipercayai mengenai bantuan yang ditawarkan,'' menurut kenyataan itu.

Pelanggan turut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap penipuan dan tidak terpedaya dengan pihak yang mendakwa mewakili bank.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh merujuk senarai bank anggota di laman web rasmi ABM dan AIBIM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI