fb fb fb fb fb

Aktiviti belian saat akhir dorong Bursa Malaysia ditutup meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Disember- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh aktiviti belian pada saat-saat akhir, khususnya bagi saham-saham telekomunikasi dan perbankan, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.25 peratus atau 3.64 mata kepada 1,456.38 daripada paras 1,452.74 pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.74 mata kepada 1,452.0 dan bergerak dalam jajaran 1,450.09 hingga 1,456.52 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 467 berbanding 432 manakala 435 kaunter tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.23 bilion unit bernilai RM2.26 bilion daripada 4.25 bilion unit bernilai RM4.97 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata ketidaktentuan mengenai prospek serantau kian ketara berikutan data ekonomi China yang bercampur-camnpur sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Di peringkat domestik, kami menjangkakan prospek bagi jangka masa terdekat ini adalah positif, disokong oleh prestasi pendapatan suku ketiga 2023 serta belian asing yang berterusan,” katanya Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM9.00, Public Bank meraih lima sen kepada RM4.32, CIMB untung 12 sen kepada RM5.77, Maxis meningkat enam sen kepada RM3.96 manakala Telekom Malaysia menambah 3.0 sen kepada RM5.30.

Bagi kaunter paling aktif, Velesto, Reneuco dan Widad masing-masing meraih setengah sen kepada 22.5 sen, 19.5 sen dan 47 sen; Leform naik 2.0 sen kepada 34 sen manakala Sarawak Consolidated tidak berubah pada 77 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 1.75 mata kepada 10,725.65, Indeks FBMT 100 susut 1.77 mata kepada 10,394.78 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 51.78 mata kepada 10,877.58.

Indeks FBM 70 merosot 123.84 mata kepada 14,048.05 manakala Indeks FBM ACE naik 67.71 mata kepada 5,133.16.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Kewangan melonjak 157.62 mata kepada 16,379.57; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.28 mata kepada 171.99, Indeks Tenaga turun 13.50 mata kepada 815.60 manakala Indeks Perladangan berkurangan 51.00 mata kepada 6,990.41.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.90 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 2.68 bilion unit bernilai RM4.65 bilion pada Khamis.

Selain itu, jumlah waran susut kepada 639.84 juta unit bernilai RM68.94 juta daripada 806.07 juta unit bernilai RM99.02 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 686.81 juta saham bernilai RM205.18 juta berbanding 758.20 juta saham bernilai RM221.65 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 342.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (413.96 juta); pembinaan (97.14 juta); teknologi (180.31 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (108.75 juta); hartanah (168.36 juta); perladangan (22.96 juta); REIT (10.29 juta), dana tertutup (3,500); tenaga (292.02 juta); penjagaan kesihatan (119.57 juta); telekomunikasi dan media (35.67 juta); pengangkutan dan logistik (37.89 juta) serta utiliti (74.51 juta).- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN