BANGI, 18 Oktober - Status entiti perniagaan ASEAN (ABE), inisiatif di bawah Belanjawan 2026 merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pelaksanaan ABE berpotensi mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan rentas sempadan melibatkan anggota ASEAN.
"Kalau kita lihat Kesatuan Eropah, apabila pelabur masuk ke salah satu negara, mereka secara automatik telah memenuhi syarat untuk seluruh pasaran serantau.
''Begitu juga dengan ASEAN, jika negara anggota dapat mencapai satu persetujuan bersama untuk menetapkan piawaian yang sama, bukan sahaja dari segi urusan di pintu masuk, tetapi juga standard perniagaan dan kualiti produk, saya yakin rantau ini akan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau ditemui selepas Program Bicara Persada – Belanjawan 2026 & RMK13: Dua Rencana Satu Matlamat, di sini.
Tambahnya, inisiatif itu dijangka menjadikan ASEAN sebagai rantau mesra pelabur dan kompetitif, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama di Asia Tenggara.
Ketika pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengenalan ABE yang akan diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Status tersebut akan diberikan kepada syarikat senaraian awam yang mempunyai jejak pasaran meluas di rantau ASEAN serta syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi mengembangkan operasi.
Langkah itu turut berperanan sebagai pemudah cara dalam pergerakan bakat mahir di rantau ini, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di peringkat ASEAN.