fb fb fb fb fb

MODENAS buka pusat teknikal hab latihan utama di Glenmarie

Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) Roslan Roskan dalam sidang media selepas majlis pelancaran pembukaan Pusat Teknikal Kawasaki (KTC) dan ibu pejabat baharu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) di Glenmarie, Shah Alam/RTM

SHAH ALAM, 18 Oktober - Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperuntukkan lebih RM2 juta untuk pembukaan Pusat Teknikal Kawasaki (KTC) dan ibu pejabat baharu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) di Glenmarie, Shah Alam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan, pusat teknikal berkenaan menjadi hab latihan utama dan pusat sokongan teknikal nasional untuk semua pengedar serta bengkelnya di seluruh negara.

“KTC akan menjadi pusat rujukan utama bagi semua isu teknikal dan latihan produk Kawasaki. Di sinilah kami kumpulkan alat ganti, kelengkapan khas serta modul latihan supaya pengedar dan bengkel memperoleh sokongan yang pantas dan seragam,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancarannya di sini.

Kemudahan pusat tersebut itu dilengkapi bilik latihan berkapasiti sehingga 50 peserta pada satu-satu masa bagi melatih mekanik dan jurutekniknya dari seluruh negara.

Beliau menjelaskan sebelum ini latihan perlu dilakukan secara bergerak ke setiap bengkel, menyebabkan gangguan dari segi masa dan logistik.

Selain fungsi operasi, pusat teknikal ini turut berperanan sebagai platform pembangunan bakat dan juruteknik akan dilatih, pengedar dipertingkatkan kemahiran, dan bakat baharu akan dibimbing seiring aspirasi TVET Malaysia dalam sektor teknikal bernilai tinggi.

Pencapaian tersebut turut memperkukuh peranan MODENAS dalam menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) melalui usaha pengeluaran tempatan dan pembangunan bakat.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ