fb fb fb fb fb

Zelensky, Trump adakan pertemuan di White House

Foto VIORY

WASHINGTON, 18 Oktober - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengadakan pertemuan di White House pada Jumaat.

Rakaman menunjukkan Trump menyambut ketibaan Zelensky di pekarangan White House sebelum kedua-duanya beredar ke dalam bangunan bagi menghadiri sesi pertemuan tertutup.

Zelensky sebelum ini menggesa Washington mempertimbangkan pemberian peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine.

Namun, Trump menyifatkan senjata tersebut sebagai “berbahaya” dan memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh dianggap sebagai tindakan provokatif terhadap Rusia.

Moscow pula menegaskan tindakan berkenaan berpotensi menjejaskan hubungan dua hala yang baharu dipulihkan antara AS dan Rusia.

Sementara itu, Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dijangka mengadakan pertemuan susulan di Budapest, Hungary, dalam tempoh dua minggu akan datang.

Lawatan itu bakal menjadi kunjungan pertama Putin ke wilayah Kesatuan Eropah sejak konflik tercetus pada 2022.

Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, mengesahkan beliau telah berbincang dengan Trump mengenai sidang kemuncak keamanan berkenaan, sambil menyifatkan Hungary sebagai “pulau keamanan” dalam usaha menjayakan rundingan tersebut. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM