fb fb fb fb fb

WFP gesa gencatan senjata kekal, buka semua lintasan ke Gaza

Trak membawa bekalan makanan WFP menunggu giliran masuk ke Gaza / Foto WFP

GENEVA, 21 Oktober - Gencatan senjata kekal di Gaza penting dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin itu.

Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) untuk Rantau Asia Barat, Abeer Etefa berkata, mengekalkan gencatan senjata adalah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan nyawa, sambil mengulangi gesaan agar semua pintu lintasan dibuka.

Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, 530 trak agensi bantuan PBB itu telah memasuki Gaza dengan membawa lebih 6,700 tan makanan yang cukup untuk bekalan hampir setengah juta penduduk Palestin selama dua minggu.

"Kita tahu bahawa gencatan senjata sedia ada sangat rapuh, jadi amat penting supaya ia berkekalan," katanya.

"Konvoi bantuan sedang berusaha memastikan bekalan makanan sampai ke gudang dan pengedaran dilakukan secara teratur dan bermaruah," tambahnya lagi.

Menurut Etefa, WFP kini mempunyai 26 tempat pengedaran makanan dibuka di Gaza -- meningkat daripada lima pada hari Jumaat, tetapi masih jauh daripada 145 yang disasarkan beroperasi di seluruh wilayah itu.

Kebanyakkan pusat pengedaran berada di selatan dan tengah Gaza.

"Orang ramai muncul dalam jumlah besar di tempat pengedaran," ujarnya.

Setakat ini, hanya lintasan Kerem Shalom dan Kissufim dibuka, tetapi beliau menggesa setiap pintu masuk ke wilayah Palestin dibuka, terutamanya di utara yang menyaksikan situasi bekalan makanan "sangat kritikal".

"Kami tidak mempunyai petunjuk bila titik sempadan itu akan dibuka," katanya, sambil menambah "Kami belum sampai ke tahap di mana Gaza dibanjiri dengan makanan."

EMMI NORALIZA ADNAN