fb fb fb fb fb

Virgin Orbit 'tutup kedai'

(FOTO HIASAN)

NEW YORK, 24 Mei- Virgin Orbit, syarikat pelancaran satelit yang diasaskan oleh jutawan Britain Richard Branson, mengumumkan bakal menghentikan operasinya secara kekal, hanya beberapa bulan selepas kegagalan misi besar, pada awal tahun.

Firma yang berpangkalan di California itu, yang telah memfailkan perlindungan kebankrapan Chapter 11 di Amerika Syarikat pada awal April, melelong aset utamanya, dan memperoleh lebih daripada AS$36 juta.

Itu hampir satu peratus daripada nilai sementara yang dicapai pada akhir 2021 di Wall Street, apabila ia dianggarkan bernilai kira-kira AS$3.5 bilion.

Dalam satu kenyataan, Virgin Orbit mengucapkan terima kasih kepada semua pekerjanya dan pihak berkepentingan.

"Sepanjang sejarahnya, Virgin Orbit telah berada di barisan hadapan dalam inovasi dan telah membuat sumbangan besar kepada bidang pelancaran roket komersial," kata syarikat itu.

Virgin Orbit telah dibangunkan pada 2017 setelah berpisah daripada Virgin Galactic, syarikat pelancongan angkasa lepas Branson.

Matlamatnya adalah untuk menyediakan perkhidmatan pelancaran angkasa lepas yang pantas dan boleh disesuaikan untuk pasaran satelit kecil yang semakin berkembang, dengan melancarkan roket mini dari pesawat Boeing 747-400 yang diubah suai.

Syarikat itu mengalami kerugian awal tahun ini apabila percubaan untuk melancarkan roket pertama ke angkasa lepas dari Britain berakhir dengan kegagalan.-AFP


(Pengasas Virgin Orbit, Richard Branson)

Media Baharu