fb fb fb fb fb

Telefon dirampas punca murid mulakan kebakaran akibatkan 19 maut

(FOTO AFP)

GEORGETOWN, 24 Mei- Kebakaran asrama sekolah hujung minggu yang mengorbankan 19 murid sekolah di tengah Guyana dilaporkan dimulakan oleh seorang murid yang tidak berpuas hati apabila telefon bimbitnya dirampas.

Laporan polis rasmi mengesahkan bahawa seorang pelajar perempuan disyaki telah memulakan kebakaran tersebut kerana kerana telefon bimbitnya telah dirampas pihak sekolah.

Menurut seorang pegawai, murid itu mengaku memulakan kebakaran dan kini berada bawah kawalan polis di hospital daerah di bandar Mahdia.

Polis sedang mendapatkan nasihat sama ada akan mendakwanya, kata pegawai itu.

Kebakaran pada Ahad memusnahkan sebuah bangunan yang menempatkan gadis berusia 11 hingga 17 tahun.

Selain 19 yang maut, kira-kira 20 lagi pelajar dibawa ke hospital di mana dua daripada mereka masih dalam keadaan kritikal.

"Mereka (kakitangan) telah mengambil telefon daripada gadis itu dan gadis itu mengugut pada malam yang sama bahawa dia akan membakar bangunan itu dan semua orang mendengarnya," kata pegawai itu.

Pegawai kerajaan itu berkata beberapa minit kemudian gadis itu pergi ke kawasan bilik mandi dan menyembur racun serangga pada langsir sebelum menyalakan mancis.

Pegawai itu berkata beberapa murid telah menceritakan versi peristiwa yang sama.

Walaupun terdapat usaha oleh pelajar lain untuk memadamkan kebakaran, pegawai itu berkata api merebak dengan cepat, menyambar siling kayu dan akhirnya memusnahkan seluruh bangunan.

“Menurut pelajar perempuan itu, mereka sedang tidur dan dikejutkan dengan jeritan,” kata laporan polis itu.

“Setelah diperiksa, mereka melihat api dan asap di kawasan bilik air, yang dengan cepat merebak di dalam bangunan menyebabkan beberapa pelajar melecur di badan dan terhidu asap, manakala beberapa orang berjaya melarikan diri."

Sementara murid yang maut, dikurung pada malam itu dan seorang murid memberitahu polis bahawa dalam keadaan panik dia tidak menemui kunci pintu depan. Bangunan itu berjeriji pada tingkap menghalang murid daripada melarikan diri melaluinya.

Laporan polis berkata terdapat 57 murid di asrama itu, iaitu "bangunan konkrit satu rata berukuran kira-kira 100 kaki kali 40 kaki, dengan beberapa tingkap, semuanya berjeriji, termasuk pintu."-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu