fb fb fb fb fb

Vietnam adakan rundingan projek loji jana kuasa nuklear pertama

Foto Reuters

HANOI, 4 Februari- Vietnam akan mengadakan rundingan dengan rakan kongsi antarabangsa mengenai projek pembangunan dua loji jana kuasa nuklear pertamanya, bulan ini.

Menurut kenyataan kerajaan pada Selasa, syarikat utiliti milik kerajaan, Electricity of Vietnam (EVN) dan syarikat minyak dan gas, PetroVietnam, telah dipilih sebagai pelabur utama bagi projek tersebut.

Vietnam akan berbincang mengenai projek berkenaan dengan beberapa negara termasuk Rusia, Jepun, Korea Selatan, Perancis dan Amerika Syarikat.

Negara Asia Tenggara yang pesat membangun itu sedang berusaha meningkatkan bekalan tenaga elektrik bagi menyokong pertumbuhan ekonominya yang pesat, dengan memberi tumpuan kepada sumber tenaga yang lebih bersih.

Pada tahun 2009, Vietnam telah meluluskan rancangan untuk membangunkan dua loji jana kuasa nuklear pertamanya.

Namun, projek tersebut dibatalkan pada tahun 2016 susulan bencana nuklear Fukushima di Jepun serta kekangan bajet.

Loji jana kuasa nuklear dengan kapasiti gabungan sebanyak 4 gigawatt itu pada asalnya dirancang untuk dibina oleh syarikat Rusia iaitu Rosatom dan Japan Atomic Power Co di wilayah Ninh Thuan.

Vietnam sasar untuk menyiapkan pembinaan loji-loji tersebut menjelang akhir tahun 2030, dengan tarikh akhir ditetapkan pada penghujung tahun 2031.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM