COLOMBO, 4 Februari-Presiden berhaluan kiri Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake berikrar untuk mengubah negara pulau miskin itu yang terkenal dengan korupsi.
Ikrar tersebut dibuat pada ulang tahun kemerdekaan negara itu yang ke-77.
Anura Kumara Dissanayake, menghapuskan kebiasaan perarakan ketenteraan besar-besaran dengan jet pejuang dan kuda bagi memperingati penyerahan kuasa pada tahun 1948.
Sebaliknya, mengadakan perarakan tentera yang lebih sederhana, selaras dengan janjinya untuk mengurangkan perbelanjaan berlebihan dalam pentadbiran kerajaan.
"Kami komited untuk mengubah imej Sri Lanka di peringkat global daripada sebuah negara yang dikenali kerana pemerintahan yang korup," katanya dalam satu perutusan kepada rakyat.
"Meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan kelemahan dalam sistem politik korup yang lalu, kerajaan rakyat yang dibina atas kehendak bersama warganegara sedang maju ke hadapan dengan mantap", jelasnya.
Kerajaan Dissanayake berjaya menyelesaikan rundingan penstrukturan semula hutang yang tertangguh lama dengan pemiutang bilateral dan swasta pada akhir tahun lalu, sekali gus menamatkan status Sri Lanka sebagai sebuah negara muflis.
Sri Lanka gagal membayar hutang luar sebanyak AS$46 bilion pada April 2022 selepas kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import makanan, bahan api, ubat-ubatan dan keperluan lain.
Krisis ekonomi memaksa presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, untuk meletakkan jawatan.
Penggantinya, Ranil Wickremesinghe, memperoleh pinjaman bantuan bernilai AS$2.9 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dissanayake, yang menewaskan Wickremesinghe dalam pilihan raya September lalu, mengekalkan langkah penjimatan ketat yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu dan berjanji untuk meneruskan program bantuan IMF selama empat tahun.
"Sebagai kerajaan baharu, dalam tempoh empat bulan yang lalu, kami telah meletakkan asas untuk ekonomi yang stabil dan memperkenalkan budaya politik yang baharu," kata Dissanayake.-AFP.