SEOUL, 4 Februari-Korea Selatan berhasrat untuk membina semula sistem keselamatan penerbangannya dari asas, kata kementerian pengangkutan pada Selasa.
Sebuah jawatankuasa baharu ditubuhkan untuk meningkatkan keselamatan perjalanan udara selepas negara itu mengalami dua insiden penerbangan utama dalam tempoh sebulan.
Jawatankuasa khas selama 10 minggu itu akan melibatkan pakar dari sektor swasta dan meneliti pelbagai isu termasuk penyelenggaraan pesawat, kadar penggunaan pesawat dalam syarikat penerbangan tambang murah, serta pembinaan dan operasi lapangan terbang.
"Bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem keselamatan penerbangan negara kita (Korea Selatan), kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan semula sistem ini dari asas," kata Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, Baek Won-kuk, dalam kenyataan.
Won-kuk menegaskan bahawa kerajaan mesti menjadikan keselamatan penerbangan sebagai keutamaan utama.
Dalam bencana udara paling tragis di Korea Selatan, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah, Jeju Air, terhempas di Lapangan Terbang Muan pada 29 Disember lepas, mengorbankan hampir kesemua 181 penumpang dan kru di dalamnya, kecuali dua orang yang terselamat.
Laporan siasatan awal mendapati sisa itik ditemui dalam kedua-dua enjin pesawat, menunjukkan kemungkinan berlaku perlanggaran dengan burung sebelum nahas.
Minggu lalu, sebuah pesawat Air Busan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Busan ketika bersiap untuk berlepas, namun semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.
Menurut Air Busan, kebakaran pertama kali dikesan oleh seorang pramugari di dalam ruang penyimpanan bagasi atas di bahagian belakang pesawat.
Siasatan mengenai punca kedua-dua insiden masih berlangsung.
Sebagai langkah susulan insiden nahas Jeju Air, pihak berkuasa telah mengumumkan perubahan ke atas struktur serupa di tujuh lapangan terbang di seluruh negara.-REUTERS.