fb fb fb fb fb

Thailand henti bekalan elektrik di sempadan Myanmar, bendung sindiket penipuan

Foto Reuters

BANGKOK, 4 Februari- Thailand akan menghentikan bekalan elektrik ke beberapa kawasan yang bersempadan dengan Myanmar, dalam usaha membanteras pusat penipuan dalam talian.

Menurut kenyataan kerajaan pada Selasa, langkah itu diambil susulan tekanan yang semakin meningkat terhadap pusat-pusat haram yang memperdaya ramai mangsa dari pelbagai negara.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu individu telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket jenayah.

Mereka dipaksa bekerja di pusat dan operasi penipuan dalam talian haram, melibatkan seluruh Asia Tenggara.

Ini termasuk di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar dan laporan PBB pada 2023 menganggarkan sindiket berkenaan menjana berbilion dolar setiap tahun.

“Kita perlu bertindak segera untuk memutuskan bekalan elektrik,” kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai kepada pemberita.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan mengarahkan Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah (Provincial Electricity Authority) untuk menghentikan bekalan elektrik ke kawasan terlibat.

Kerajaan Thailand bimbang isu itu akan menjejaskan sektor pelancongan negara yang menjadi sumber ekonomi penting.

Sementara itu, Ketua Majlis Keselamatan Negara pada Isnin menyatakan bahawa bukti menunjukkan sindiket jenayah rentas negara beroperasi di Tachileik, Myawaddy dan Payathonzu di Myanmar, kawasan yang dijangka menjadi sasaran pemotongan bekalan elektrik.

Sejak Oktober 2023, kerajaan tentera Myanmar telah menghantar pulang lebih 55,000 warga asing, kebanyakannya rakyat China, yang dipaksa bekerja di pusat penipuan, kembali ke negara asal mereka.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM