fb fb fb fb fb

Turkiye selar pendekatan PBB ke atas pertikaian Cyprus

(FOTO AFP)

ISTANBUL, 20 Ogos - Jurucakap parti pemerintah Turkiye pada Sabtu mengkritik pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kerana menghalang pembinaan jalan kontroversi di zon penampan yang membahagikan Cyprus sebagai sesuatu yang "tidak boleh diterima" dan "sangat salah."

Konfrontasi berlaku pada Jumaat antara tentera Cyprus Turki dan pasukan pengaman PBB di Pyla, sebuah perkampungan percampuran etnik di kawasan rondaan PBB antara Republik Cyprus yang diiktiraf antarabangsa di bahagian selatan dan sebuah negara kecil Cyprus Turki di bahagian utara.

Misi PBB di pulau Mediterranean timur berkata pasukan pengamannya diserang ketika mereka cuba menghalang “kerja pembinaan tanpa kebenaran” berhampiran Pyla, satu-satunya kampung di mana Cyprus Greek dan Cyprus Turki tinggal bersebelahan.

(FOTO AFP)

Omer Celik, jurucakap parti AKP yang memerintah Turkiye, mempertahankan pembinaan jalan raya dan menyelar sikap "tidak boleh diterima" pasukan pengaman PBB.

"Sikap pasukan pengaman PBB yang berkhidmat di Cyprus...tidak boleh diterima dan amat salah," tulis Celik di laman sosial X.

Beliau berkata bahawa sikap tersebut telah merosakkan reputasi misi PBB di Cyprus.

Pihak berkuasa di Republik Turki Utara Cyprus (TRNC) yang hanya diiktiraf oleh Turkiye, telah menolak dakwaan misi PBB sebagai "tidak berasas."

Mereka berkata projek itu mempunyai "objektif kemanusiaan" yang "bertujuan untuk menyediakan kemudahan akses ke wilayah TRNC untuk rakyat kita" yang tinggal di kampung itu.

Celik pada Sabtu berkata bahawa Turkiye "menyokong sepenuhnya" TRNC, dan menyeru misi PBB untuk melayan orang Cyprus Turki secara sama rata.

Cyprus telah berpecah sejak 1974 apabila tentera Turkiye menduduki utaranya sebagai tindak balas kepada rampasan kuasa tentera yang ditaja oleh junta ketika itu yang berkuasa di Greece.-AFP

Media Baharu