ISTANBUL, 2 Ogos- Turkiye hari ini menyekat akses kepada rangkaian media sosial Instagram, kata pihak berkuasa komunikasi negara itu tanpa penjelasan lanjut.
Keputusan itu dibuat susulan seorang pegawai tinggi di Turkiye mendakwa wujud tindakan penapisan oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.
Pihak berkuasa komunikasi, BTK dalam catatan di laman webnya berkata bahawa Instagram.com telah disekat pada 2 Ogos 2024, tanpa memberi butiran lanjut.
Ramai pengguna yang menetap di Turkiye mengadu di platform X bahawa mereka tidak dapat memuat naik atau membuat hantaran di Instagram mereka seperti yang disahkan AFP.
Pengarah komunikasi kepada Presiden Turkiye, Fahrettin Altun pada Rabu mengecam Instagram yang dimiliki Meta dengan mendakwa platform itu menghalang orang ramai daripada memuat naik mesej takziah untuk pemimpin Hamas yang syahid, Ismail Haniyeh.
"Ini adalah tindakan yang sangat jelas lagi nyata untuk cuba melakukan penapisan kandungan," katanya di platform X.
Haniyeh, ketua biro politik Hamas dan sekutu rapat Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, terbunuh di Tehran pada Rabu dalam serangan yang didakwa didalangi Israel.
Menurut media Turkiye, terdapat lebih daripada 50 juta pengguna Instagram berdaftar di negara itu, dalam kalangan 85 juta penduduknya dan ini bukan kali pertama pihak berkuasa Turkiye menyekat akses ke laman media sosial.- AFP