fb fb fb fb fb

Trump mahu hidupkan semula Hollywood dengan tarif filem 100%

Foto fail/ Reuters

BRUSSELS, 7 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhasrat mengembalikan kepimpinan negaranya dalam industri filem global yang kian merosot menerusi pelaksanaan tarif baharu, sebagai usaha menghidupkan semula perniagaan Hollywood, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Industri filem di Amerika SEDANG MATI dengan begitu pantas,” kata Trump dalam hantaran di laman Truth Social pada Ahad.

Trump telah mengarahkan Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS supaya “segera memulakan proses mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem” yang dihasilkan di luar AS.

Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick menyatakan persetujuannya menerusi hantaran ringkas “Kami sedang menguruskannya” di platform X.

Dalam kenyataan di Rumah Putih pada Isnin, Trump berkata beliau akan bertemu wakil industri filem untuk membantu, sambil mendakwa bahawa “Hollywood sedang dimusnahkan.”

Beliau turut menyalahkan Gabenor California Gavin Newsom kerana “membiarkan perkara itu berlaku,” dan menuduh negara lain telah “mencuri” industri filem AS.

Bagaimanapun, Trump kemudian dilihat melembutkan nada kenyataannya susulan reaksi balas terhadap rancangan tarif 100 peratus itu, dengan berkata beliau akan bertemu wakil industri bagi “memastikan mereka berpuas hati kerana keutamaan kita ialah pekerjaan.”

Pengumuman tarif itu dibuat selepas pertemuan Trump dengan pelakon dan Duta Khas Hollywood, Jon Voight di Mar-a-Lago yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan penggiat industri filem AS.

Voight turut memuat naik video di platform X bertajuk “Rancangan menyelamatkan Hollywood”, yang mendakwa ramai rakyat AS telah kehilangan pekerjaan dalam industri berkenaan akibat pemindahan lokasi penggambaran ke luar negara. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF