fb fb fb fb fb

'Travelogue of China' program pertukaran media pupuk persefahaman budaya China

QINGDAO, 23 Mei – Seramai 30 wartawan termasuk wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang terdiri daripada 18 buah negara dibawa ke bandar Qingdao di Wilayah Shandong bagi merasai sendiri pengalaman pertukaran budaya dalam 'Travelogue of China'.

Pertukaran itu sebagai usaha memaparkan imej budaya China dengan lebih jelas selari perkembangan pemodenan wilayah itu.

Selain itu, wakil media turut dibawa melihat sejarah dan merasai sendiri kepelbagaian budaya China menerusi pameran warisan budaya negara itu serta kerjasama ekonomi yang telah dijalinkan dengan negara luar.

Peserta turut didedahkan dengan lebih dekat untuk menyaksikan sendiri pembangunan teknologi moden dan berkualiti tinggi yang telah dibangunkan di setiap bandar.

“Program seumpama ini dapat menjadi jambatan penghubung antara China dan dunia dengan lebih luas lagi selain mengukuhkan lagi hubungan China dan antarabangsa,” kata Ahli Jawatankuasa Perbandaran Qingdao, Zhang Xinzhu dalam ucapannya.

Menurut Presiden Persatuan Diplomasi Awam China, Wu Hailong, melalui aktiviti yang dianjurkan, wartawan luar dapat mengetahui gambaran sebenar keadaan di China.

Ia sekali gus dapat memberi pandangan yang positif dari apa yang dilihat dan didengar menerusi laporan yang dikongsi melalui program pertukaran budaya antara media antarabangsa dan tempatan.

Timbalan Pengarah Biro Komunikasi Siber, Jabatan Pentadbiran Alam Siber China, Chen Renze pula berkata wartawan berperanan penting untuk membina hubungan rapat antara rakyat dengan menyampaikan maklumat

"Kita harap dengan aktiviti ini, wartawan dapat mempromosi persefahaman antara China dan dunia,” kata Renze.

Dalam pada itu, wakil wartawan antarabangsa yang ditemui RTM, berkongsi rasa kagumnya dengan usaha China dalam membangunkan negara ke arah lebih baik serta membina hubungan rapat dengan negara luar.

“Tahun ini genap 72 tahun hubungan diplomatik antara Pakistan dan China. Kami sangat kagum dengan kemajuan yang telah dicapai Qingdao,” kata Saud Faisal yang merupakan Ketua Pegawai Digital, Pakistan Observer.

Manakala, Timbalan Ketua Editor Narodnoe Slovo, Uzbekistan, Ruslan Kenjaev pula kagum dengan kemajuan di Wilayah Qingdao kerana memiliki tren berkelajuan tinggi yang dapat menjimatkan waktu perjalanan pengguna.

Tren itu bukan sahaja memberi manfaat buat penduduk untuk menuju ke bandar lain antara wilayah malah menghubungkan perjalanan dari wilayah itu ke negara luar seperti Laos.

Malah pemain industri turut menjadi pengeluar tren komersial berkelajuan tinggi terpantas di dunia dengan kelajuan 350 kilometer sejam.

Antara pencapaian terbaik Qingdao ialah memiliki pusat perfileman dan televisyen antara terbesar di dunia dengan berkeluasan 3.76 kilometer persegi serta berteknologi terkini selain mempunyai jenama perkakas rumah ternama.

Qingdao terletak di pantai timur China terletaknya lebuh raya lintasan laut kedua terpanjang di dunia dengan jarak lebih 41 kilometer (km).

Media Baharu