fb fb fb fb fb

Trak kargo terbalik, 10 pendatang asing maut

MEXICO, 2 Oktober- Sekurang-kurangnya 10 pendatang Cuba maut manakala 25 lagi cedera selepas trak kargo dinaiki mereka terbalik di selatan Mexico.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kemalangan maut itu membabitkan pendatang asing ke Amerika Syarikat (AS).

"Kejadian berlaku di selatan negeri Chiapas, berhampiran sempadan dengan Guatemala.

"Kesemua mangsa wanita termasuk seorang bawah umur.

"Sebahagian trak berkenaan musnah dengan pakaian dan beg pendatang berselerak di atas jalan raya," kata pihak berkuasa itu menerusi kenyataan.

Beribu-ribu pendatang dari negara berbeza telah mengembara ke seluruh Mexico dengan bas yang sempit, treler dan kereta api barang atau berjalan kaki dalam usaha untuk merantau ke ke AS.

Tambahnya, dua pendatang maut apabila sebuah trak terbalik di perbandaran Chiapas, Mezcalapa, Khamis lalu.

Pada awal Ogos, sekurang-kurangnya 18 orang maut dan 23 lagi cedera selepas bas yang membawa penumpang termasuk pendatang asing dari negara seperti India, Republik Dominican dan beberapa negara Afrika terjunam ke dalam gaung di negeri Nayarit.

Hujung minggu ini, di negeri utara Chihuahua dan Zacatecas, hampir 3,000 pendatang asing terkandas di kawasan terpencil apabila kereta api barang yang dinaiki mereka berhenti tanpa sebab.

Pihak berkuasa Mexico berkata mereka telah menahan lebih 189,000 pendatang asing bulan lalu, manakala peronda sempadan AS telah melaporkan 1.8 juta penahanan antara Oktober 2022 dan Ogos 2023. - AFP

TETITIA YUSOFF