LAGOS, 11 Julai- Angka kematian dalam kemalangan bot di Lagos telah meningkat kepada 15 selepas penemuan lebih banyak mayat dan seorang lagi mangsa masih hilang.
Wakil Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Ibrahim Farinloye berkata terdapat 16 penumpang di dalam bot ketika kemalangan itu berlaku pada malam Jumaat.
Dua mayat pada mulanya ditemui selepas tragedi pada Sabtu, katanya.
“Lewat malam semalam, dua lagi mayat ditemui selain dua sebelum itu ditemui pada sebelah pagi,” katanya.
Beliau berkata 11 mayat ditemui pada Ahad.
"Dengan ini, ia telah menjadi sejumlah 15 mayat yang ditemui".
Farinloye berkata seorang penumpang masih hilang.
Pihak Berkuasa Laluan Air Negeri Lagos (LASWA) turut mengesahkan kemalangan itu.
"Sebuah bot Fiber penumpang W19 yang membawa 16 orang terbalik di sepanjang kawasan Ojo di negeri ini," kata pengurus kawasan LASWA Sarat Braimah.
"Bot itu melanggar peraturan laluan air lewat perjalanan dengan belayar pada 7.45 malam (1845 GMT)," katanya.
Braimah berkata air pasang membawa bot itu ke arah tongkang dan menyebabkan ia terbalik.
Penumpang termasuk kanak-kanak tidak memakai jaket keselamatan.
Beliau berkata pasukan penyelamat segera bergerak selepas menerima panggilan kecemasan.
Kemalangan bot adalah perkara biasa di laluan air Nigeria kebanyakannya disebabkan kesesakan dan penyelenggaraan yang buruk, terutamanya semasa musim hujan.
Dua orang terbunuh dan 15 diselamatkan pada hari Rabu apabila bot mereka terbalik di kawasan Ikorodu di bandar itu.-AFP
(Gerakan mencari dan menyelamat oleh para petugas di kawasan bot terbalik/AFP)