BEIJING, 25 Disember- Media negara China menuduh Filipina menceroboh wilayah China di Laut China Selatan, menyebarkan maklumat palsu dan bersekongkol dengan pasukan luar wilayah untuk menimbulkan masalah.
Menurut jurucakap Parti Komunis China dalam satu ulasan menerusi People's Daily berkata, "Filipina bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk terus mencetuskan provokasi terhadap China, dengan tingkah laku yang 'sangat berbahaya' selain membahayakan keamanan dan kestabilan serantau."
Bagaimanapun Kementerian Luar Filipina dan pasukan petugas kebangsaan yang mengendalikan Laut China Selatan tidak segera memberi komen mengenai laporan itu.
Ketegangan antara Beijing dan Manila semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila kedua-dua negara membuat tuduhan berhubung siri serbuan di Laut China Selatan.
Perkara itu termasuk tuduhan bahawa China melanggar sebuah kapal yang membawa ketua kakitangan angkatan tentera Filipina.
China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan, Vietnam dan Indonesia.
Tribunal antarabangsa pada 2016 membatalkan dakwaan China dalam keputusan kes yang dibawa oleh Filipina.
Menteri Luar China Wang Yi berkata, minggu lalu kesilapan perhitungan dalam pertikaian dengan Filipina akan membawa tindak balas tegas dari China, dan menggesa dialog untuk menangani "masalah serius".
Kemerosotan hubungan dua hala bertepatan dengan langkah Manila untuk meningkatkan hubungan ketenteraan dengan Jepun dan AS.
China meluahkan kemarahan terhadap AS bulan ini kerana menghantar sebuah kapal tentera laut ke perairan berhampiran kawasan yang menjadi pertikaian antara China dan Filipina.
Washington sering menggunakan perjanjian pertahanannya dengan Manila untuk "mengancam" China, secara terang-terangan.
Perkara itu "tidak bertanggungjawab dan berbahaya", kata ulasan itu, yang ditulis menggunakan nama pena Zhong Sheng, atau "Suara China".- REUTERS