fb fb fb fb fb

Tiga maut dalam banjir kilat di utara Thailand

Salah seekor gajah yang mati dalam kejadian banjir kilat yang melanda daerah Mae Tang pada Sabtu lepas/AFP

BANGKOK, 7 Oktober- Banjir kilat melanda destinasi pelancongan popular Chiang Mai dan mengorbankan tiga orang, menurut pegawai kesihatan semalam, ketika pelancong dipindahkan dari hotel melalui air berlumpur setinggi lutut serta kedai-kedai ditutup di pusat bandar.

Di pusat bandar Chiang Mai, air banjir memasuki pasar malam dan stesen kereta api utama yang kini ditutup.

Media tempatan melaporkan ribuan warga emas dan kanak-kanak terlantar memerlukan bantuan makanan serta pemindahan selepas Sungai Ping mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada malam Sabtu lepas.

Pegawai kesihatan Saritdet Charoenchai memaklumkan tiga mangsa terkorban termasuk seorang lelaki, 44, yang maut akibat renjatan elektrik dan seorang wanita, 33, terbunuh dalam kejadian tanah runtuh, manakala lebih 80 orang dipindahkan ke pusat perlindungan serta kira-kira 12 pusat perubatan terpaksa ditutup akibat banjir.

Di daerah Mae Tang, lebih 100 ekor gajah di Taman Gajah Nature Chiang Mai dipindahkan ke kawasan lebih tinggi.

Bagaimanapun, dua ekor gajah -- Fahsai, 16 tahun, dan Ploython, 40 tahun, yang buta -- ditemukan mati akibat lemas pada Sabtu.

Sungai Ping juga dilaporkan mencecah paras "kritikal" selepas hujan lebat berterusan melanda wilayah utara Thailand, menurut pejabat daerah. Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan sebanyak 20 daripada 76 wilayah di Thailand kini dilanda banjir. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA