fb fb fb fb fb

Thailand sahkan kematian orang awam pertama, konflik dengan Kemboja

Foto AFP

BANTEAY MEANCHEY, 14 Disember- Thailand pada Ahad mengesahkan kematian orang awam pertamanya sejak konflik terbaharu dengan Kemboja tercetus seminggu lalu, ketika usaha antarabangsa gagal menghentikan pertempuran yang memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Kematian itu dilaporkan sehari selepas Bangkok menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa satu gencatan senjata telah dipersetujui antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara berkenaan.

Konflik yang berpunca daripada pertikaian sempadan era kolonial sepanjang kira-kira 800 kilometer itu telah menyebabkan sekitar 800,000 penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa.

Seorang lelaki awam Thailand berusia 63 tahun terbunuh di wilayah Sisaket akibat serpihan peluru selepas pasukan Kemboja didakwa melancarkan serangan roket ke kawasan awam, menjadikannya kematian bukan tentera pertama direkodkan di Thailand sejak pertempuran bermula pada 7 Disember.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh termasuk 15 anggota tentera Thailand dan 11 orang awam Kemboja.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand berkata Kemboja membedil beberapa wilayah sempadan sepanjang malam manakala Kemboja pula mendakwa tentera Thailand melancarkan bedilan dan serangan udara ke wilayahnya berhampiran sempadan.

Thailand turut mengenakan perintah berkurung di beberapa kawasan sempadan.

Sementara itu, Kemboja menutup lintasan sempadannya dengan Thailand menyebabkan pekerja migran terkandas, ketika kedua-dua negara mengesahkan pertempuran masih berterusan walaupun dakwaan gencatan senjata sebelum ini disuarakan oleh Trump.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM