KIEV, 16 November – Menteri Luar Jepun memberi amaran bahawa kehadiran tentera Korea Utara dalam konflik Ukraine berpotensi memberi impak besar terhadap keselamatan Asia Timur.
Takeshi Iwaya yang kini berada di Ukraine berkata demikian susulan laporan bahawa Pyongyang telah menghantar ribuan tentera ke Rusia.
Barat dan Ukraine mendakwa mereka beroperasi di wilayah sempadan Kursk, Rusia.
Jepun bersama Korea Selatan mengecam sokongan Korea Utara terhadap Moscow.
"Ini bukan sahaja memperdalam keparahan situasi di Ukraine, tetapi turut memberi implikasi besar kepada keselamatan Asia Timur," kata Iwaya. "Kami sangat prihatin terhadap perkembangan ini dan mengutuknya dengan tegas."
Beliau turut melawat Bucha, sebuah bandar di luar Kiev yang menyaksikan kekejaman terhadap orang awam semasa pendudukan singkat tentera Rusia.
"Kami tetap berdiri teguh bersama Ukraine," katanya.
Iwaya dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Andriy Sybiga, bersetuju untuk mengadakan dialog keselamatan peringkat tinggi, memperkukuh kerjasama dalam perkongsian maklumat risikan.
Sybiga menegaskan kehadiran tentera Korea Utara membuktikan masa depan keselamatan global sedang dipertaruhkan di Ukraine.
Lawatan Iwaya dianggapnya sebagai "tanda solidariti penting" dan beliau memuji hubungan erat antara kedua-dua negara, meskipun berjarak ribuan kilometer.-AFP