fb fb fb fb fb

Taufan Nanmadol landa pulau Kyushu

TOKYO, 18 September- Taufan Nanmadol melanda pulau Kyushu di selatan Jepun. Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran tentang angin ribut dan ombak besar.

Menurut JMA, taufan ke-14 pada musim ini menghampiri kepulaan itu berserta hujan yang menyebabkan risiko kepada limpahan air sungai.

Berdasarkan ramalan agensi cuaca, Kyushu Selatan boleh menerima taburan hujan 400 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam dan tiupan angin sehingga 235 km sejam pada hari ini, manakala wilayah Tokai tengah boleh menerima 300 milimeter (mm) taburan hujan.


(Keadaan laut bergelora di pulau Kyushu/REUTERS)

Agensi penyiaran NHK memaklumkan taufan tersebut menyebabkan kerosakan di selatan Kyushu termasuk memusnahkan perhentian bas di wilayah Miyazaki dan tingkap bilik di wilayah Kagoshima.

Pengendali kereta api dan syarikat penerbangan telah membatalkan perkhidmatan dan rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Jepun ditutup buat sementara waktu.

Ribut itu diramalkan menghala ke timur dan melepasi pulau utama Jepun, Honshu sebelum bergerak ke laut menjelang Rabu.

Hujan lebat melanda ibu kota Tokyo dan laluan kereta api bawah tanah Tozai digantung kerana banjir.-REUTERS

Media Baharu