fb fb fb fb fb

Taufan Mawar landa Guam, puluhan ribu penduduk terjejas

LOS ANGELES, 25 Mei- Taufan Mawar yang melanda Guam, menyebabkan ribut kuat dan gangguan bekalan elektrik dilapor meninggalkan kawasan itu membolehkan penduduk di wilayah Lautan Pasifik Amerika Syarikat menilai kerosakan harta benda.

Menurut Gabenor Lou Leon Guerrero, pihaknya telah bersedia untuk memulakan tinjauan bagi menilai kerosakan di pulau itu yang dihuni kira-kira 170,000 penduduk; juga menempatkan pos tentera Amerika Syarikat (AS).

Pasukan pertahanan awam bersama gabenor akan mengenal pasti kerosakan dan jalan-jalan yang terhalang disebabkan Taufan Mawar, menurut kenyataan itu pada Khamis.

"Memandangkan Guam dibadai taufan semalaman, penilaian akan membantu menentukan nilai kerosakan dan bantuan diperlukan.”

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS melaporkan Mawar membawa angin kencang selaju 225 kilometer sejam, menyebabkan ombak setinggi sembilan meter atau kira-kira 30 kaki tinggi.

Tiada laporan kematian atau kecederaan diterima pihak berkuasa.


(FOTO AFP)

Di sebuah hotel 30 tingkat menempatkan kira-kira 300 tetamu, kerani hotel, Casey Hattori berkata kawasan lobi dipenuhi air kira-kira sekaki tinggi meskipun dinding hotel telah dihadang dengan beg konkrit, manakala di luar hotel, banyak pokok patah akibat ditiup angin.

“Saya boleh mendengar bunyi dinding bergoncang. Angin bertiup terlalu kuat. Saya dapat dengar bunyi angin melalui pintu yang pecah,” kata Hattori.

“Pelancong yang ketakutan telah dipindahkan dari bilik yang dipenuhi air ke tingkat enam,” katanya.

Imej di media sosial menunjukkan kesan tiupan angin kuat telah menumbangkan pokok, menghanyutkan kenderaan dan bumbung tercabut, serta banyak serpihan di merata tempat.

Menurut Pihak Berkuasa Bekalan Elektrik, puluhan ribu penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik, namun menegaskan tidak semua penduduk terjejas.

Menurut pihak berkuasa kaji cuaca, Mawar kini menjadi Super Typhoon dan diramal menuju ke Taiwan atau Filipina sementara Guam masih diletak bawah amaran taufan dengan angin kuat dan ombak tinggi. -AFP

Media Baharu