fb fb fb fb fb

Taufan Mocha: PBB gesa Myanmar buka sempadan kepada bantuan

(Seorang kanak-kanak perempuan sedang melintasi rumah yang musnah
akibat dilanda Taufan Mocha di kem pelarian Basara di Sittwe, di negeri Rakhine, Myanmar/FOTO AFP)

GENEVA, 25 Mei - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Myanmar supaya membuka sempadannya bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan sampai ke bahagian-bahagian negara itu, yang dilanda Taufan Mocha.

Ketua Hak Asasi Kemanusiaan PBB, Volker Turk menggesa pemimpin junta tentera supaya membolehkan penilaian keperluan dibuat ketika negara Asia Tenggara itu terkesan akibat taufan tersebut.

Taufan Mocha membadai dengan membawa kelajuan angin kencang 195 kilometer sejam ke Myanmar dan negara jiran Bangladesh pada 14 Mei lalu.

Bencana itu meranapkan puluhan bangunan manakala lebuh raya bertukar menjadi sungai.

"Kerosakan dan kehilangan nyawa dijangkan akan berlaku dan tidak dapat dielakkan - dan jelas sekatan ini melanggar hak asasi manusia," kata Turk kepada sidang media di Geneva.

Junta Myanmar menyatakan bahawa angka kematian akibat taufan tersebut ialah 148 orang, yang kebanyakannya daripada golongan minoriti Rohingya yang ditindas di wilayah barat Rakhine.

"Selama berdekad-dekad, pihak berkuasa di Myanmar menyekat golongan Rohingya daripada hak dan kebebasan mereka," tegas Turk.

Rakhine merupakan tempat tinggal bagi ratusan ribu golongan Rohingya yang kebanyakannya menetap di kem-kem pemindahan susulan konflik etnik minoriti paling ditindas di dunia.

Pada 23 Mei lalu, PBB melancarkan rayuan bagi dana kecemasan sebanyak US$333 juta bagi 1.6 juta orang, yang terjejas akibat Taufan Mocha di Myanmar. - AFP

 

Media Baharu