YILAN, 24 Julai- Taiwan menutup sekolah, pejabat kerajaan dan menggantung pasaran saham dengan mengisytiharkan 'cuti bencana' hari ini ketika Taufan Gaemi sedang menuju ke pulau terbabit, membawa hujan lebat serta angin kencang.
Dalam pada itu, perkhidmatan kereta api dan feri turut digantung, manakala ratusan penerbangan antarabangsa dan domestik dibatalkan.
Gaemi, yang membawa angin berkelajuan 190 kilometer sejam juga menjejaskan Jepun dan Filipina.
Ia dijangka mendarat di timur laut Taiwan pada pukul 10.00 malam waktu tempatan hari ini.
Sehubungan itu, Presiden Lai Ching-te dalam taklimat kecemasan pagi tadi menggesa semua orang agar mengutamakan keselamatan.
"Gaemi adalah taufan pertama tahun ini yang mendarat di Taiwan. Saya harap melalui usaha bersama, impak taufan dapat diminimumkan. Saya juga menyeru warga di seluruh negara untuk tidak keluar rumah kecuali perlu ketika taufan, terutama ke tempat berbahaya," katanya.
Amaran Gaemi diramal akan dilanjutkan selama beberapa hari susulan kesan taufan itu dijangka akan berlarutan selama empat hari sehingga Jumaat ini. -AFP