fb fb fb fb fb

Syria sahkan rundingan tidak langsung dengan Israel, redakan ketegangan

Foto Reuters

PARIS, 7 Mei - Presiden Ahmed al-Sharaa mengesahkan bahawa Syria sedang mengadakan rundingan tidak langsung dengan Israel melalui perantara, bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, susulan siri serangan dan ancaman sejak penggulingan Bashar al-Assad.

"Kami sedang berusaha berbincang dengan semua negara yang mempunyai hubungan dengan pihak Israel untuk mendesak mereka menghentikan campur tangan dalam hal ehwal Syria, mencabuli ruang udara kami dan mengebom beberapa fasiliti kami," kata Sharaa dalam satu sidang media di Paris bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Sharaa berkata Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF) mesti "kembali ke Garisan Biru pemisahan", sambil menambah bahawa UNDOF telah membuat beberapa lawatan ke Damsyik.

Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas Syria sejak penggulingan Assad pada Disember dengan mendakwa mereka mahu menghalang senjata canggih jatuh ke tangan pihak berkuasa baharu.

Tentera Israel juga telah memasuki zon penampan yang diawasi PBB di sepanjang garisan gencatan senjata 1974 di Bukit Golan dan melancarkan serangan lebih jauh ke dalam wilayah selatan Syria.

Macron mengecam serangan Israel ke atas Syria, dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak akan menjamin "keselamatan jangka panjang Israel".

"Berkenaan pengeboman dan pencerobohan, saya fikir ia adalah amalan yang buruk. Anda tidak boleh memastikan keselamatan negara anda dengan melanggar kedaulatan wilayah jiran anda," kata Macron.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan lebih daripada 20 serangan ke atas sasaran ketenteraan di seluruh Syria lewat Jumaat, dalam serangan paling teruk oleh Israel. - AFP

TETITIA YUSOFF