SANAA, 8 Mei- Puak Houthi di Yaman tidak akan teragak-agak untuk melakukan serangan terhadap Amerika Syarikat (AS) sekiranya serangan diteruskan ke atas negara itu.
Jurucakap Tentera Houthi Yahya Sarea berkata ketika ini serangan dron disasarkan ke arah rejim Zionis Israel.
"Pasukan UAV Angkatan Tentera Yaman melakukan dua operasi ketenteraan. Yang pertama menyasarkan Lapangan Terbang Ramon di kawasan Umm al-Rashrash menggunakan dua dron.
"Satu lagi menyasarkan sasaran penting musuh Zionis di kawasan yang diduduki Yaffa menggunakan dron Yaffa," kata Yahya Sarea.
Sementara itu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan menghentikan pengeboman ke atas Houthi di Yaman.
Perkara itu berikutan kumpulan Houthi bersetuju untuk berhenti menyerang kapal AS.
Selepas Trump membuat pengumuman itu, Oman menjadi pengantara perjanjian gencatan senjata untuk menghentikan serangan berkenaan.
Walaupun ketegangan mungkin telah reda antara Amerika Syarikat dan Houthi namun perjanjian itu tidak menolak serangan ke atas mana-mana kapal atau sasaran lain yang berkaitan dengan Israel.- Reuters