MADRID, 26 Januari - Seorang suspek yang dikehendaki berhubung kematian dua penyokong bola sepak Sweden di Brussels pada 2023 telah ditahan di Malaga, kata polis Sepanyol pada Sabtu.
Polis Sepanyol menyatakan bahawa mereka menangkap suspek, yang namanya tidak didedahkan, di lapangan terbang Malaga ketika dia cuba menaiki penerbangan untuk meninggalkan negara itu.
"Suspek tersebut memberikan senjata api kepada penyerang," kata polis Sepanyol dalam satu kenyataan.
Suspek dijadualkan hadir di mahkamah di Madrid pada Sabtu untuk menghadiri pendengaran ekstradisi ke Belgium, yang menyaksikan dia berdepan tuduhan keganasan dan pembunuhan, menurut sumber polis kepada Reuters.
Beberapa jam selepas serangan di Brussels, polis menembak mati seorang suspek di sebuah kafe di ibu negara Belgium.
Suspek berusia 45 tahun itu mengaku sebagai anggota kumpulan Negara Islam (IS) dan mendakwa bertanggungjawab menerusi video yang dimuat naik dalam talian.
Serangan itu berlaku ketika kebimbangan keselamatan meningkat di banyak bahagian Eropah akibat konflik Israel-Hamas, tetapi pendakwa raya berkata penyerang itu kelihatan lebih didorong oleh insiden pembakaran Al-Quran di Sweden.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 2023, dua warga Sweden ditembak mati oleh seorang suspek ketika perlawanan kelayakan kumpulan F, EURO 2024 di antara Belgium menentang Sweden yang berlangsung di Brussels.
Mangsa adalah seorang lelaki berusia sekitar 70 tahun dari Stockholm dan seorang lagi lelaki berusia sekitar 60 tahun yang tinggal di luar negara, menurut Kementerian Luar Sweden pada ketika itu.-REUTERS.