COLOMBO, 15 November-Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake, dan parti gabungannya, National People's Power (NPP), dijangka menang dalam pilihan raya umum mengejut, menurut keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu pada Jumaat.
Dissanayake, yang memenangi pilihan raya Presiden pada September lalu, kini mencari mandat untuk melaksanakan dasar-dasar bagi meringankan beban golongan miskin ketika Sri Lanka berusaha pulih daripada krisis kewangan.
Gabungan NPP yang cenderung kepada Marxist sebelum ini hanya memegang tiga kerusi daripada 225 kerusi parlimen.
Tindakan Dissanayake membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya mengejut bertujuan meraih mandat baharu.
NPP berjaya memperoleh 44 kerusi dengan meraih hampir 62% atau lebih lima juta undi dalam pilihan raya Khamis lalu, sekali gus menunjukkan mereka kini berada di landasan tepat untuk menangi pilihan raya berkenaan, menurut keputusan terkini di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka.
"Kami melihat ini sebagai detik penting bagi Sri Lanka.
"Kami berharap mendapat mandat untuk membentuk parlimen yang kukuh, dan kami yakin rakyat akan memberi mandat ini kepada kami," kata Dissanayake selepas mengundi pada Khamis.
"Perubahan dalam budaya politik Sri Lanka yang bermula sejak September perlu diteruskan," tambahnya.
Parti Samagi Jana Balawegaya yang dipimpin oleh ketua pembangkang, Sajith Premadasa, menjadi pencabar utama kepada NPP dan memenangi 11 kerusi dengan kira-kira 19% undi.
Lebih 17 juta rakyat Sri Lanka layak mengundi untuk memilih ahli parlimen bagi tempoh lima tahun.
Seramai 690 parti politik dan kumpulan bebas bertanding di 22 daerah pilihan raya.-REUTERS.
BERITA BERKAITAN:
Pilihan raya Sri Lanka: Dissanayake dijangka menang besar
Perdana Menteri baharu Sri Lanka angkat sumpah
Sri Lanka adakan pilihan raya pertama sejak keruntuhan ekonomi