COLOMBO, 15 Mei - Sri Lanka melonggarkan perintah berkurung di seluruh negara selama 12 jam bagi mengurangkan sekatan ketika Perdana Menteri baharu, Ranil Wickremesinghe berusaha membentuk kerajaan.
Perintah berkurung itu dilonggarkan bermula pukul 6 pagi (waktu tempatan) hari ini hingga 6 petang.
Selain itu perintah berkurung 24 jam yang dilaksanakan sejak Isnin lalu turut dihentikan selama beberapa jam pada Khamis dan semalam untuk membenarkan pembelian barangan keperluan.
Langkah itu diumumkan selepas pertempuran dengan kumpulan antikerajaan meragut sembilan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.
(FOTO BERNAMA)
Protes terhadap kerajaan yang bermula aman selama lebih sebulan lalu, bertukar ganas minggu ini selepas penyokong bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, menyerbu kem penunjuk perasaan antikerajaan dan membakar khemah serta bertempur di Colombo.
Pertempuran awal dan tindakan balas terhadap pemimpin kerajaan dikuasai keluarga Rajapaksa selepas itu turut menyebabkan lebih 300 individu cedera.
Rajapaksa meletakkan jawatan selepas keganasan tercetus Isnin lalu namun adiknya, Gotabaya Rajapaksa bertegas mahu kekal memerintah sebagai Presiden Sri Lanka.
Negara yang teruk terkesan oleh pandemik, peningkatan harga minyak dan pemotongan cukai oleh kerajaan itu berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak Sri Lanka merdeka daripada Great Britain pada tahun 1948.
Rizab asing yang boleh digunakan semakin susut, dan inflasi serta kekurangan minyak menyebabkan ribuan rakyat Sri Lanka turun ke jalanan untuk memprotes.
Wickremesinghe, yang juga bekas Perdana Menteri lima kali, dilantik sekali lagi untuk memegang jawatan itu Khamis lalu dan pemimpin berusia 73 tahun itu dijangka dapat melantik anggota Kabinet sebelum Parlimen bersidang semula Selasa ini.
Beliau adalah ahli Parlimen tunggal daripada Parti Nasional Bersatu (UNP) dan terpaksa bergantung pada parti lain untuk membentuk kerajaan, dengan parti Podujana Peramuna Sri Lanka pimpinan Rajapaksa berikrar menyokong pentadbiran Wickremesinghe.
Parti pembangkang utama pula enggan menyokong Wickremesinghe, namun beberapa parti kecil sedia menyokong dasar yang dibawa Perdana Menteri baharu itu untuk menstabilkan ekonomi Sri Lanka. - REUTERS