fb fb fb fb fb

Songkran: Polis Thailand tubuh pusat pemantauan cegah kemalangan jalan raya

Polis Thailand menubuhkan pusat pemantauan bagi mencegah dan mengurangkan kemalangan jalan raya semasa penganjuran Festival Songkran / Foto AFP

BANGKOK, 11 April - Polis Thailand menubuhkan pusat pemantauan bagi mencegah dan mengurangkan kemalangan jalan raya semasa penganjuran Festival Songkran.

Polis Thailand menerusi satu kenyataan memaklumkan pusat itu akan beroperasi sehingga 18 April, bertujuan untuk menggalakkan integrasi dengan agensi kerajaan dan swasta untuk mengurangkan faktor risiko kemalangan jalan raya secara menyeluruh.

Katanya, inisiatif itu termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mempromosikan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Pusat ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya dan memudahkan perjalanan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dengan selamat," kata Polis Thailand.

Tahun lepas, statistik menunjukkan 264 orang kehilangan nyawa dalam 2,203 nahas jalan raya sepanjang tujuh hari sambutan Songkran dari 11 hingga 17 April. Seramai 2,208 orang cedera dalam kemalangan jalan raya semasa tempoh cuti Songkran.

Songkran disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand. Perayaan ini terkenal dengan aktiviti meriah menyimbah air serta perarakan berwarna-warni. Ia secara rasmi tertulis dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH) pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, Gabenor Bangkok Chatchart Sitthiphan berkata terdapat 118 lokasi di seluruh Bangkok untuk menganjurkan aktiviti Songkran.

Beliau turut mengajak orang ramai dan semua sektor untuk menyertai aktiviti Songkran di seluruh Bangkok tahun ini.

"Orang ramai boleh mengakses https://happining.city/songkran2024 aplikasi web yang menunjukkan peta lokasi festival Songkran di seluruh Bangkok. Inisiatif ini disediakan oleh pihak berkuasa Bangkok untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai lokasi, masa dan tahap keberadaan acara itu di setiap lokasi," katanya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN