THE HAGUE, 30 Jun - Sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang disyaki melakukan penggubahan wang haram sebanyak €460 juta (AS$540 juta) menerusi rangkaian global berjaya ditumpaskan di Sepanyol.
Badan Polis Eropah, Europol, hari ini memaklumkan, operasi tersebut diketuai oleh polis Sepanyol dengan kerjasama agensi penguatkuasaan undang-undang dari Perancis, Estonia dan Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Sepanyol turut mengeluarkan rakaman video operasi berkenaan.
Sindiket dipercayai telah menubuhkan rangkaian korporat dan perbankan yang berpangkalan di Hong Kong - Foto Reuters
Europol dalam kenyataan rasminya mengesahkan bahawa beberapa tangkapan telah dibuat pada 25 Jun lalu dan rangkaian penipuan pelaburan kripto itu telah berjaya dilumpuhkan sepenuhnya.
Lima individu telah ditahan dalam operasi berkenaan, dengan tiga ditahan di Kepulauan Canary dan dua lagi di Madrid.
Europol yang beribu pejabat di The Hague turut memaklumkan, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan rangkaian di seluruh dunia untuk mengumpul dana melalui pengeluaran tunai, pindahan bank dan pemindahan mata wang kripto.
Siasatan turut mendedahkan sindiket itu dipercayai telah menubuhkan rangkaian korporat dan perbankan yang berpangkalan di Hong Kong.
Sindiket menggunakan gerbang pembayaran dan akaun pengguna atas nama individu berbeza serta di pelbagai platform pertukaran mata wang kripto bagi menerima, menyimpan dan memindahkan dana haram.
Menurut Europol, siasatan lanjut terhadap sindiket ini masih diteruskan. - REUTERS