fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel, tiga lagi terbunuh

Foto WAFA

GAZA, 6 April- Tiga rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam dua serangan udara Israel di kawasan kejiranan Shujaiya, Gaza, pada Sabtu.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber tempatan melaporkan bahawa dron Israel itu telah menyasarkan sekumpulan penduduk di kawasan tersebut.

"Saksi melaporkan bahawa tentera Israel terus melepaskan tembakan mesingan dan melancarkan serangan meriam ke beberapa lokasi di kawasan berkenaan.

"Ini merupakan hari kedua berturut-turut kawasan Shujaiya diserang tentera Israel; menjadikan serangan ini sebagai pencerobohan darat ketiga, sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 2023.

"Kenderaan tentera Israel dilaporkan berkubu di Bukit Al-Muntar dan kawasan sekitarnya.

"Bahagian timur kawasan kejiranan Zaytoun juga dilaporkan diserang dengan bedilan meriam," lapor WAFA.

Sejak serangan ketenteraan Israel di Gaza bermula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 50,669 rakyat Palestin telah terbunuh manakala lebih 115,225 lagi cedera.

Ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan; tidak dapat diselamatkan oleh pasukan kecemasan dan pertahanan awam akibat serangan berterusan Israel.

Serangan Israel itu berterusan tanpa henti meskipun terdapat gesaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk gencatan senjata segera, serta arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar langkah diambil bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai dan meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM